Make your own free website on Tripod.com

Laman Utama | ADD | Harian Pendidikan | Didik | Minda | Skor

TUTORIAL 3

KATA GANTI NAMA DIRI (KGND)

(a) Kata Ganti Nama Diri Pertama

KGND Pertama
Bentuk
Penggunaan
Ayat contoh
aku
tunggal
Merujuk kepada diri sendiri apabila berhubung dengan orang yang rapat dan sama taraf, dan ketika berdoa kepada Tuhan.
  1. "Kedatangan aku ke mari membawa hajat yang besar, Manisah," kata Ziana kepada rakan karibnya itu.
  2. Ya Allah, aku memohon petunjuk-Mu," lafaz Pak Man dalam doanya.
saya
tunggal
Merujuk kepada diri sendiri apabila bercakap dengan orang yang baru dikenali atau sesiapa sahaja dalam keadaan rasmi.
  1. "Rumah saya tidak jauh dari sini," kata Rahim kepada orang tua yang bertanya kepadanya itu.
  2. Saya berasa bertuah menjadi rakyat Malaysia.
beta
tunggal
Digunakan oleh raja, permaisuri, sultan dan kaum kerabat diraja apabila bertitah kepada rakyat.
  1. "Berani awak mengingkari perintah beta," titah baginda sultan dengan murkanya.
  2. "Beta izinkan mamanda menteri berangkat sekarang juga," titah Sultan Ali.
patik
tunggal
Digunakan oleh rakyat apabila bercakap dengan sultan, permaisuri, raja dan kerabat diraja.
  1. Kata Bendahara Melaka, "Patik menjunjung perintah, tuanku."
  2. "Patik datang ke mari membawa hajat yang besar, tuanku," sembah Hang Kasturi kepada Sultan Mahmud.
daku
tunggal
Merujuk kepada diri sendiri dan hanya digunakan jika perkataan sebelumnya berakhir dengan huruf "n".
  1. Adakah engkau masih ingat akan daku?
  2. Oleh sebab tidak sependapat dengan daku, akhirnya kami berpisah juga.
hamba
tunggal
Merujuk kepada diri sendiri pada zaman dahulu.
  1. "Hamba telah banyak melihat corak hidup manusia," kata pengembara itu kepada Engku Azlina.
  2. "Jangan hamba dihina begini," rayu saudagar itu kepada Malim Kundang.
kami
jamak
Merujuk kepada si penutur dan temannya apabila bercakap dengan pihak kedua.
  1. "Kami akan menyertai kem motivasi di sekolah," kata Ali dan Siti kepada ibu mereka.
  2. Ami dan John memberitahu cikgu mereka,"Kami tidak tahu membuat projek itu."
kita
jamak
Merujuk kepada si penutur dan orang yang mendengarnya.
  1. Bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita.
  2. "Jika kita bersatu, kita akan menjadi kuat," kata Eda kepada rakan-rakannya.

 

Kembali ke atas...

 

(b) Kata Ganti Nama Diri Kedua

KGND Kedua
Bentuk
Penggunaan
Ayat contoh
awak
tunggal
Digunakan untuk diri orang kedua yang rapat, panggilan orang atasan kepada orang bawahan dan digunakan oleh suami dan isteri apabila bercakap.
  1. "Awak tidak boleh merokok di dalam pejabat," kata pengurus itu kepada keraninya.
  2. "Bila awak mahu datang ke rumah saya?" tanya Salmah kepada sahabat karibnya.
kamu
tunggal
Digunakan oleh orang yang lebih tua atau dewasa dan ditujukan kepada anak, para pelajar dan sebagainya
  1. "Kamu masih belum sihat lagi, Man?" Kudus bertanya.
  2. "Mengapakah mata kamu merah, Amin?" Halim bertanya kepada adiknya.
engkau
tunggal
Digunakan untuk diri orang kedua yang rapat dan dengan Tuhan apabila berdoa.
  1. "Apakah yang engkau lakukan ini?" Zuren bertanya kepada Ku Li.
  2. Ya Allah, Engkaulah yang maha mengetahui.
dikau
tunggal
Digunakan dalam tulisan sebagai objek kepada kata sendi dan kata kerja transitif yang ejaannya berakhir dengan huruf "n".
  1. Aku akan memperkenalkan dikau dengan kawan-kawanku yang lain.
  2. "Saya amat rindu akan dikau," kata Hasan kepada teman wanitanya.
tuanku
tunggal
Digunakan apabila bercakap dengan sultan, raja dan kerabat diraja; bermaksud "tuan yang mulia".
  1. "Segala titah tuanku akan patik patuhi," kata Hang Tuah.
  2. "Patik ke mari bersama-sama dengan anak dan isteri, tuanku" sembah Tun Pepatih.
anda
tunggal / jamak
Merujuk kepada diri orang yang kedua/ orang yang dilawan bercakap apabila tiada berhadapan dengan kita. Contohnya dalam siaran radio, televisyen atau dengan orang yang sebaya.
  1. Anda dikehendaki membaca arahan dengan teliti sebelum menjawab soalan.
  2. Jika anda berminat untuk menyertai syarikat kami, sila hubungi kami dengan segera.
kalian
jamak
Merujuk kepada diri orang kedua atau orang yang dilawan bercakap yang bilangannya melebihi seorang/bilangan banyak.
  1. Kalian diharap bertenang kerana para hakim sedang mengira markah.
  2. "Apakah yang kalian buat di sini?" Husin bertanya kepada rakan-rakannya.

 

Kembali ke atas...

 

(c) Kata Ganti Nama Diri Ketiga

KGND Ketiga
Bentuk
Penggunaan
Ayat contoh
dia / ia
tunggal
Untuk menggantikan nama diri orang yang diceritakan/dicakapkan sama ada rakan sebaya atau orang yang lebih muda.
  1. Dia berjanji akan berubah, tidak lagi bersikap malas seperti dahulu.
  2. Ahmad terjatuh kerana ia ditolak oleh kawannya.
nya
tunggal
Digunakan untuk menggantikan kata ganti dia/ia, nama binatang dan nama benda. Tidak boleh berdiri sendiri dan ditulis serangkai dengan perkataan yang mendahuluinya.
  1. Munirah memanggil Masni sambil melambai padanya.
  2. Burung itu tidak boleh terbang kerana sayapnya patah.
baginda
tunggal
Untuk menggantikan nama sultan, raja, kerabat diraja yang diperkatakan.
  1. Sultan Samad menitahkan Perdana Menteri pergi mendapatkan anakanda baginda di Temasik.
  2. Bagina Sultan jarang-jarang melawat ke sini.
beliau
tunggal
Digunakan untuk orang ketiga yang dihormati seperti ibu bapa, pemimpin dan guru.
  1. Semua anak beliau belajar di luar negara.
  2. Menteri Pelajaran tidak dapat hadir kerana beliau berada di luar negara.
mereka
jamak
Untuk menggantikan nama diri orang ketiga yang dicakapkan yang bilangannya melebihi seorang.
  1. Rumah mereka ranap ditiup angin ribut.
  2. Mereka bergotong-royong membersihkan kampung.

 

Kembali ke atas...

 

<-- Kembali Seterusnya -->

 


ProfilHubungi

Hak Cipta Terpelihara 2006 © Abdul Aziz bin Dahlan

Institut Perguruan Rajang, Bintangor